Belilah Barangan Buatan Malaysia

Baru-baru ini terdapat segolongan pihak yang membangkitkan supaya boikot barangan buatan ataupun syarikat bukan Islam. Suara-suara ini telah dibangkitkan terutamanya di media sosial.

Sedih rasanya saya, sedih bukan kerana saya bukan seorang Islam. Bukan juga saya sedih disebabkan perniagaan-perniagaan golongan bukan Islam akan terjejas. Tetapi sedih kerana sentimen-sentimen sebegini masih lagi berlaku di negara kita. Lebih-lebih lagi, ramai di antara pemimpin-pemimpin tempatan dan politik yang telah melaung-laungkannya.

Cuba kita fikirkan, tidak kiralah kita boikot barangan mana-mana satu pihak pun. Ia tidak akan mendatangkan faedah kepada mana-mana satu kaum dan bangsa pun.

Keseluruhan ekonomi kita tidak terbahagi kepada kaum dan bangsa. Samada ekonomi kita berkembang ataupun runtuh bergantung kepada seluruh ekosistem yang terlibat dan kaum bukanlah satu faktor yang menentukannya. Kita sebagai rakyat Malaysia bergantung antara satu sama lain untuk berkembang samada ekonomi negara ataupun pendapatan swasta.

Sebagai contoh, sekiranya satu produk biskut bukan Islam diboikot di negara kita. Kerugian kilang biskut tersebut barangkali akan menyebabkan syarikat tersebut mengambil langkah untuk mengurangkan pengeluaran biskut. Apabila pengeluaran biskut tersebut dikurangkan, pembungkusan tin atau plastik terpaksa dikurangkan juga. Kekerapan penghantaran biskut ke kedai-kedai jualan juga akan dikurangkan.

Cuba bayangkan, mungkin kedai pencetakan bungkusan, pengilang pembungkus tin dan plastik dan syarikat penghantaran tersebut dimiliki oleh seseorang yang beragama Islam.

Kerugian kilang biskut akan turut menyebabkan kerugian kedai pencetak, pengilang pembungkusan dan syarikat penghantaran. Ini mungkin pula menyebabkan syarikat-syarikat berkenaan terpaksa memberhentikan kerja segolongan pekerja yang terdiri daripada pelbagai agama.

Mungkin juga seseorang bos kedai runcit beragama Islam yang mempunyai kedai di sebuah kawasan perumahan yang majoritinya berketurunan bukan Islam dan biskut tersebut mendapat sambutan yang baik di kedai tersebut. Kalau biskut tersebut diboikot, maka rugilah bos kedai runcit itu.

Ini cuma merupakan satu contoh ekosistem ekonomi yang kecil. Bayangkan di seluruh negara kita, pelbagai perniagaan adalah bergantung di antara satu sama lain. Keruntuhan mana-mana satu perniagaan akan mempunyai impak terhadap perniagaan yang lain, dan seterusnya menyebabkan impak terhadap ekonomi kita.

Di bulan Ogos dan September di mana kita menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, kita sepatutnya melaung-laungkan semangat perpaduan. Dan semangat perpaduan ini mesti diteruskan sepanjang tahun.

Saya memang suka bertemu dengan rakan-rakan saya yang berbilang kaum di gerai mamak. Nasi Padang Minang di Jalan Transfer merupakan salah satu makanan kegemaran saya. Apa salahnya kalau kita menikmati produk-produk kaum dan bangsa lain? Apa salahnya kalau kita menikmati barangan-barangan buatan yang berkualiti? Takkanlah saya mesti berhenti untuk menikmati barangan tersebut hanya kerana ia bukan dihasilkan oleh bangsa saya sendiri?

Oleh itu, bukan sahaja kita tidak boleh boikot antara satu sama lain. Kita haruslah menyokong barangan buatan Malaysia. Kita menyokong dari segi membeli barangan buatan Malaysia dan juga sentiasa mencabar rakan-rakan kita supaya sentiasa menambahbaikkan produk kita!