Beberapa hari lagi, akan genap satu tahun selepas pilihan raya umum 2018. Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pun sudah bersidang sebanyak tiga kali. Dewan Rakyat sudah pun bersidang untuk kali ketiga pada bulan April yang lepas. Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pun sudah berlangsung sebanyak tiga kali.
Saya telah mengikuti kedua-dua sidang Dewan Rakyat dan DUN. Walaupun tidak dapat menghadiri sidang-sidang tersebut untuk sepenuh masa, saya mendapatkan maklumat mengenai perbahasan di dalam menerusi arkib video, hansard dan juga melalui berita.
Sesetengah topik yang telah dibangkitkan memang adalah penting dan relevan untuk negara kita.
Sepertimana yang kita tahu, Dewan-dewan yang mulia ini berfungsi sebagai badan perundangan dan untuk membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di negara kita. Dewan-dewan ini meluluskan undang-undang yang dibentangkan, membuat pindaan undang-undang yang sedia ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang baru.
Tetapi saya rasa agak kecewa dengan cara sesetengah YB membentangkan hujah-hujah mereka. Ramai di antara mereka masih terperangkap dalam mentaliti politik partisan di mana mereka menganggap YB dari parti politik lain sebagai musuh.
Di dalam sesetengah hujah yang dibentangkan oleh ahli-ahli YB ini, mereka akan bangkitkan tentang kerajaan yang dahulu.
Yang telah menjadi pembangkang berasa bangga dengan pencapaian kerajaan dahulu; yang telah jadi kerajaan masih lagi kritik kerajaan dahulu.
Sayang sekali, ada pula individu-individu yang mengambil pentas tersebut untuk menaikkan nama mereka sendiri. Dan ada juga yang demi membuktikan kehadiran mereka, hanya beromong kosong di dalam dewan.
Kita juga sering dengar ada pelbagai provokasi dan pergaduhan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
Apa yang patut menjadi tumpuan adalah masa hadapan, buat apa kita masih hendak kritik atau puji kerajaan yang dahulu. Walaupun sejarah dan perkara yang lepas adalah penting untuk kita mempelajarinya, akan tetapi kita tidak harus terlalu fokus untuk membincangkan tentang perkara yang sudah lepas.
Isu-isu yang dibentangkan oleh ahli-ahli YB tersebut mestilah berdasarkan suara pengundi-pengundi di dalam kawasan mereka, dan bukannya semata-mata untuk mengikut hasrat parti. Saya bersetuju bahawa kadang-kala wakil-wakil rakyat ini berbahas berdasarkan ideologi parti-parti mereka, tetapi sebagai wakil rakyat, mereka harus mencari titik keseimbangan di antara parti politik dan juga rakyat.
Yang Berhormat bukanlah wakil kerajaan ataupun pembangkang, tetapi wakil untuk rakyat.
Kadang-kadang, di antara wakil-wakil rakyat ini, mereka sering menggunakan pentas Dewan untuk dijadikan sebagai medan untuk berkempen ataupun berpolitik.
Pilihanraya pun sudah lepas, dan ini bukanlah masanya untuk kita berkempen.
Walaupun kita memang tidak dapat elak daripada politik, tetapi biarlah kita berpolitik di medan yang betul dan bukannya di dalam Dewan.
Sidang dalam Dewan bukan medan untuk berkempen, tetapi berbahas dengan matang untuk kepentingan negara dan rakyat.
Mahatma Gandhi pernah berkata, “evolution of democracy is not possible if we are not prepared to hear the other side.”
Sekiranya kita tetap memikirkan bahawa kita adalah betul dan pihak lawan sentiasa salah, kita tidak akan dapat hasil persidangan yang optimum dan memanfaatkan negara. Di dalam pembentangan hujah dan rang undang-undang, semestinya kita mempunyai perbezaan pendapat, dan kita mestilah sedia untuk mendengar suara-suara daripada perspektif yang berbeza.
Sikap ini juga adalah amat penting bagi seseorang wakil rakyat untuk menunjukkan budaya politik yang matang untuk dipraktikkan oleh rakyat-rakyat juga.
Sekiranya kita tidak mula untuk berhujah dengan matang tidak kira di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, macam mana kita hendak memastikan keseluruhan negara mengamalkan cara berpolitik dengan matang.